Thursday, 23 August 2012

Lawak Islamik



Kejadian berlaku di sebuah negara yang tidak dapat dipastikan namanya. Masyarakat dalam negara itu hidup dalam keadaan yang aman dan damai.Rata-rata penduduknya adalah yang menganut agama Islam. Suatu hari datang seorang cendekiawan kristian, yang ingin menguji keagungan dan kebenaran Tuhan yang disembah. Cendekiawan itu berjumpa dengan raja negara tersebut dan meminta kebenaran untuk berdebat dengan penduduk-penduduk di negara itu.


Pertaruhan yang telah ditetapkan oleh cendekiawan itu adalah, jika dia dikalahkan, dia beserta seluruh ahli keluarganya akan memeluk Islam.Sebaliknya jika dia menang, raja hendaklah memberi dia kekayaan dan kebenaran menyebarkan agamanya di situ. Dan syarat terpenting perbahasan ialah menggunakan bahasa isyarat. Kemudian raja pun bertitah mengumumkan pertandingan tersebut kepada rakyat dan barangsiapa yang kalah, dia akan dikenakan hukuman yang berat. Setelah hampir waktunya, muncullah seorang pengembala kambing Islam yang ingin membela agamanya. Dengan berat hati,raja membenarkan kerana tiada siapa lagi yang berani menyahut cabaran itu. Pada hari pertandingan, rakyat berkumpul di padang yang luas dan gembala kambing didudukkan bertentangan dengan cendekiawan kristian. Bermulalah soalan, cendekiawan menunjukkan satu jari kepada hadirin.


Gembala kambing pula menunjukkan dua jarinya pada hadirin. Dan jawapannya betul.Cendekiawan pula menunjukkan dua jari pula dan gembala kambing menunjukkan lima jari, jawapannya juga betul.Kemudian, cendekiawan menunjukkan lima jari, gembala kambing menunjukkan enam jari. Betul juga! Raja mula berfikir, hebat juga gembala kambing ini.


Cendekiawan yang tidak berpuas hati, membuat bulatan pada hadirin dengan tangannya, kemudian gembala kambing menunjukkan penumbuk tangannya. Betul lagi... Lalu cendekiawan tersenyum puas hati. Cendekiawan mengeluarkan pedang dan halakan ke langit. Gembala kambing pula mengeluarkan pisau kontotnya, lalu dijunamkan ke bumi. Betul! Lalu cendekiawan menepuk tangan.


Cendekiawan kemudiannya menunjukkan seekor ayam ditangan dan gembala kambing menunjukkan telur ayam ditangan. Betul... Maka tamatlah sesi perdebatan. Raja amat berpuas hati dengan kepandaian gembala kambing. Cendekiawan itu mengadap raja, untuk menunaikan janjinya. Raja bertanyakan soalan dan jawapan perdebatan antara cendekiawan dan gembala kambing. Cendekiawan pun mula bercerita...


"Sungguh hamba akui kebesaran Tuhan, sehingga rakyat tuanku dapat menjawab dengan baik sekali. Sebenarnya soalan hamba, tunjuk satu jari bermakna adakah kalimah syahadah cuma yang pertama sahaja? (Asyhaduallah ilahaillallah...) Jawapan yang diberikan gembala kambing, dua jari.Jawapannya betul kerana sambungannya, (wa asyhaduan namuhammadarrasullullah)"


"Hamba tunjukkan dua jari, bermakna adakah rukun islam ada dua? Gembala kambing memberi jawapan, lima. Betullah... Bila hamba tunjukkan lima jari,maksudnya adakah islam setakat itu sahaja? Jawapan yang diberikan enam jari, sebab rukun iman ada enam" "Bulatan pula bermakna siapa yang jadikan bumi? Gembala kambing menjawab penumbuk, betullah sebab Allah yang Maha Berkuasa. Bila hambamengeluarkan pedang dan menunjuk ke langit, gembala kambing mengeluarkan pisau kontotnya dan menjunamkan ke bumi. Betullah... kerana Allah yang jadikan langit dan bumi."


"Ayam tu sebenarnya soalan bonus... apakah asal usul kejadian ayam itu Jawapannya telur... betullah...Sesungguhnya hamba amat berbesar hati dan akan mendalami islam sepenuhnya, serta menyebarkannya" Raja tersenyum gembira mendengar soalan dan jawapan tersebut.Kemudiannya gembala kambing dipanggil untuk mengadap Raja, maka diberikan ganjaran yang telah dijanjikan. Dan bertanyalah Raja akan rahsia gembala kambing tersebut, adakah soalan itu dah bocor? Gembala kambing pun bercerita...


"Hamba sungguh tak puas hati betul dengan orang Kristian yang sombong itu.Dia tunjuk satu jari, maknanya dia nak kambing hamba satu. Jadi hamba menjawab, dua pun hamba boleh bagi. Dia tunjuk dua maknanya dia nak lagi dua pulak! Nak empat la maksudnya. Dan hamba jawab lima pun boleh.Kemudian dia tunjuk lima, maknanya takkan lima jea...? Oklah hamba boleh bagi enam pada dia."


"Lepas tu dia tunjuk bulatan, maknanya dia nak semua kambing hamba.Hamba pun tunjuklah penumbuk. Pas tu dia keluarkan pedang, wah wah... dia ingat orang kaya je ada pedang. Hamba pun tunjuk pisau kontot hamba.Sekurang-kurangnya hamba ada juga. Kemudian dia tunjuk ayam pulak! Amboi... mentang-mentanglah dia kaya, selalu makan ayam... Hamba pun mampu... walaupun hanya telur ayam. Tapi patik tetap bersyukur, kerana dia dah sedar dan nak peluk islam, sekurang-kurangnya dia takkan sombong dan bongkak lagi..."


Tergelak besar Raja mendengar penjelasan gembala kambing tersebut. Sungguh besar keagungan Tuhan...walau dengan cara apa sekalipun islam dicabar dan dihina, Islam akan tetap terbela. 
 

Friday, 17 August 2012

Marah Boleh Membunuh?



Assalamualaikum dan salam ceria semua!

Bagaimana Ramadhan kali ini? Adakah lebih baik dari Ramadhan sebelumnya? Diharap begitulah. Jangan ingat raya je tau..Raya, raya juga tapi sebaiknya diisi dengan amalan yang lebih baik.^^

Ok, kali ni ana nak kongsi tentang MARAH. Marah? Korang pernah marah tak? Takkan tak pernah kan? Marah nie merupakan satu fitrah yang ada pada semua manusia yang normal. Ia akan hadir pada setiap manusia tanpa diberi tunjuk ajar. Marah ialah ekspresi perasaan kepada sesuatu perkara. Boleh jadi ia baik ataupun sebaliknya.

Huh? Marah pun ada yang baik juga? Ok, mari kita selidiki apa itu marah yang baik. Ok, marah yang baik ialah marah apabila melihat maksiat dan juga marah apabila Islam diinjak-injakkan. Biasanya marah jenis ini tidak akan menyebabkan seseorang hilang kawalan perasaan dan tidak memudaratkan.

Manakala, marah yang tidak baik pula ialah marah kepada sesuatu perkara dengan cara berlebihan sehingga menyebabkan nafsu mengatasi akal. Maka, yang paling penting ialah bagaimana kita mengawal dan menghadapi perasaan marah itu.

Sebab itulah, Nabi Muhammad S.A.W amat memberi penekanan dalam aspek kemarahan.

Daripada Abu Hurairah r.a, seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w : "Berikan daku wasiat." Baginda bersabda :  "Janganlah engkau marah." Lelaki itu mengulangi soalan itu beberapa kali. Baginda tetap bersabda: "Janganlah engkau marah." ( Riwayat al-Bukhari )

Berikut merupakan tips-tips mengawal kemarahan:

1. DIAM.
Apabila manusia marah, biasanya sukar untuk dia menuturkan kata-kata yang baik. Dia akan cenderung untuk menghambur segala kata-kata kesat yang pasti akan disesali kemudian hari kelak. Maka, salah satu cara yang baik untuk mengawal kemarahan adalah dengan mendiamkan diri. Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: "Apabila salah seorang daripada kalian marah, maka hendaklah dia diam." ( Riwayat Ahmad )

2. DUDUK
Duduk juga merupakan salah satu cara yang baik untuk mengawal perasaan marah. Jika berdiri, dikhuatiri perasaan marah akan diikuti oleh gerakan fizikal yang lain seperti memukul dan menendang. Hadis Nabi s.a.w, maksudnya: "Apabila salah seorang daripada kalian marah sedangkan dia berdiri, maka hendaklah dia duduk agar kemarahannya hilang. Apabila masih belum reda, maka hendaklah dia baring." ( Riwayat Abu Daud )

3. MENGAMBIL WUDUK
Sabda Rasulullah s.a.w., yang bermaksud "Marah ialah bara api, maka padamkan ia dengan berwuduk." ( Riwayat al-Baihaqi )

Ok sahabat semua, setakat di sin saja entry kali nie. Jangan marah selalu ya, nanti cepat tua! Hehe, selamat beramal!

cr : Majalah Gen-Q, isu 11

Tuesday, 14 August 2012

Tanda???



Mari berfikir sejenak



1. Penaklukan Baitulmuqaddis.

Dari Auf b. Malik r.a., katanya, “Rasulullah s. a. w. telah bersabda:”Aku menghitung enam perkara menjelang hari kiamat.”Baginda menyebutkan salah satu di antaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis.” (Sahih Bukhari)


2. Zina bermaharajalela.

“Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang.” (Sahih Muslim)


3. Bermaharajalela alat muzik.

“Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan muka.” Ada yang bertanya kepada Rasulullah; “Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?” Baginda menjawab; ” Apabila telah bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita”
(Ibnu Majah)


4. Menghias masjid dan membanggakannya.

“Di antara tanda-tanda telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegah-megahan dalam mendirikan masjid” (Riwayat Nasai)


5. Munculnya kekejian, memutuskan silaturrahim dan hubungan dengan tetangga tidak baik.

“Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan sikap yang buruk dalam tetangga.”
(Riwayat Ahmad dan Hakim)


6. Ramai orang soleh meninggal dunia.

“Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik dan ahli agama di muka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran
(Riwayat Ahmad)


7. Orang hina mendapat kedudukan terhormat.

“Di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka’ bin Luka’ (orang yang bodoh dan hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia”
(Riwayat Thabrani)


8. Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja.

“Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalinya saja.”
(Riwayat Ahmad)

9. Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. “Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang.”


10. Bulan sabit kelihatan besar.

“Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah menggelembung (membesarnya) bulan sabit.”
(Riwayat Thabrani)


11. Banyak dusta dan tidak tepat dalam menyampaikan berita.

“Pada akhir zaman akan muncul pembohong-pembohong besar yang datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu dengar dan belum pernah didengar oleh bapa-bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu dan memfitnahmu”
(Sahih Muslim)

Saturday, 11 August 2012

Gadis Pertikai Hukum Allah Diberi Balasan Serta Merta



Sebagai seorang hamba Allah, kita perlu tahu bahawa kita adalah insan yang lemah dicipta oleh Allah SWT. Maka jika Allah berkehendakkan sesuatu, maka Dia akan berikan kepada siapa yang dikehendakinya. Di bawah ini terdapat sebuah kisah yang melibatkan seorang gadis. Gadis ini mempunyai imej yang bukan seperti seorang Islam. Ikuti kisah apakah yang menyebabkan gadis ini diberi balasan oleh Allah SWT.


Pada suatu hari, seorang gadis yang terpengaruh dengan cara hidup masyarakat Barat menaiki sebuah bas mini untuk menuju ke destinasi di wilayah Iskandariah. Malangnya walaupun tinggal di bumi yang terkenal dengan tradisi keislaman, pakaian gadis tersebut sangat menjolok mata.Bajunya agak nipis dan seksi hampir terlihat segala yang patut disembunyikan bagi seorang perempuan daripada pandangan lelaki ajnabi atau mahramnya.


Gadis itu dalam lingkungan 20 tahun. Di dalam bas itu, ada seorang tua yang dipenuhi uban menegurnya: “Wahai pemudi! Alangkah baiknya jika kamu berpakaian yang baik, yang sesuai dengan ketimuran dan adat serta agama Islam kamu, itu lebih baik daripada kamu berpakaian begini yang pastinya menjadi mangsa pandangan liar kaum lelaki…. ” nasihat orang tua itu.


Namun, nasihat yang sangat bertetapan dengan tuntutan agama itu dijawab oleh gadis itu dengan jawapan yang mengejek: “Siapalah kamu hai orang tua? Adakah kamu cuba nak ingatkan aku supaya menutup aurat sepenuhnya sedangkan bapa kandungku sendiri tidak pernah menasihatiku?Apakah kamu mahu aku berpakaian menutup aurat sedangkan aku masih mahu bebas menayangkan tubuh badan ku di khalayak ramai?Apakah di tangan kamu ada anak kunci syurga? Atau adakah kamu memiliki sejenis kuasa yang menentukan aku bakal berada di syurga atau neraka?”


Setelah menghamburkan kata-kata yang sangat menghiris perasaan orang tua itu, gadis itu tertawa mengejek panjang. Tidak cukup setakat itu, si gadis lantas cuba memberikan telefon bimbitnya kepada orang tua tadi sambil melafazkan kata-kata yang lebih dahsyat. ” Jika ISLAM itu BENAR, tempatkan bilikku di Neraka, Ambil handphone ku ini dan hubungilah Allah serta tolong tempahkan sebuah bilik di neraka jahanam untukku,” katanya lagi lantas ketawa berdekah-dekah tanpa mengetahui bahawa dia sedang mempertikaikan hukum Allah dengan begitu biadab.


Orang tua tersebut sangat terkejut mendengar jawapan daripada si gadis manis. Sayang sekali, wajahnya yang ayu tidak sama dengan perilakunya yang buruk. Penumpang-penumpang yang lain turut terdiam malah ada yang menggelengkan kepala kebingungan. Semua yang di dalam bas tidak menghiraukan gadis muda yang tidak menghormati hukum-hakam agama itu dan mereka tidak mahu menasihatinya kerana khuatir dia akan akan menghina agama dengan lebih teruk lagi.


Sepuluh minit kemudian bas pun tiba di perhentian. Gadis seksi bermulut celupar tersebut tertidur di muka pintu bas. Puas pemandu bas termasuk para penumpang yang lain mengejutkannya tapi gadis tersebut tidak sedarkan diri. Tiba tiba orang tua tadi memeriksa nadi si gadis. Sedetik kemudian dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Gadis itu telah kembali menemui Tuhannya dalam keadaan yang tidak disangka. Para penumpang menjadi cemas dengan berita yang menggemparkan itu. Dalam suasana kelam kabut itu, tiba tiba tubuh gadis itu terjatuh ke pinggir jalan. Orang ramai segera berkejar untuk menyelamatkan jenazah tersebut. Tapi sekali lagi mereka terkejut. Sesuatu yang aneh menimpa jenazah yang terbujur kaku di jalan raya. Mayatnya menjadi hitam seolah-olah dibakar api. Dua tiga orang yang cuba mengangkat mayat tersebut juga kehairanan kerana tangan mereka terasa panas dan hampir melecur sebaik saja menyentuh tubuh si mayat. Akhirnya mereka memanggil pihak keselamatan menguruskan mayat itu.



Begitulah kisah ngeri lagi menyayat hati yang menimpa gadis malang tersebut. Apakah hasratnya menempah sebuah bilik di neraka dimakbulkan Allah? Na’uzubillah, sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Sangat baik kita jadikan iktibar dan pelajaran dengan kisah benar ini sebagai Muslim sejati. Jangan sesekali kita mempertikaikan hukum Allah mahupun sunnah RasulNya s.a.w. dengan mempersendakan atau mengejek. Kata kata seperti ajaran Islam tidak sesuai lagi dengan arus kemodenan dunia hari ini atau sembahyang tidak akan buat kita jadi kaya dan seumpamanya adalah kata-kata yang sangat biadab dan menghina Allah, pencipta seluruh alam.


Ingatlah teman, kita boleh melupakan kematian, tetapi kematian tetap akan terjadi kepada kita. Hanya masanya saja yang akan menentukan bila kita akan kembali ke alam barzakh. Janganlah menjadi orang yang bodoh, siapakah orang yang bodoh itu? Mereka itulah orang yang ingin melawan Tuhan Rabbul ‘alamin. Apabila anda enggan melaksanakan suruhan Tuhan bererti anda ingin melawan arahan Tuhan.


Sewaktu di sekolah anda tertakluk dengan undang-undang sekolah, dalam pekerjaan anda tertakluk dengan undang-undang yang dilakar oleh majikan anda, di dalam negeri anda tertakluk di bawah undang-undang negara anda. Begitu taksub sekali anda terhadap undang-undang itu sehingga terlalu prihatin takut kalau melanggar undang-undang tersebut . Apabila anda berpijak di bumi ini, anda juga tertakluk dengan undang-undang yang telah di gubal oleh yang pemilik yang menjadikan bumi ini.


Setiap Sultan ada taman larangannya, begitu juga Allah s.w.t. taman laranganNya adalah perkara-perkara yang telah diharamkan bagi hamba-hambaNya di muka bumi ini. Sama samalah kita memohon agar Allah sentiasa memberi kita petunjuk di atas jalan yang benar dan agar Dia memberikan kekuatan agar kita sentiasa dapat menjaga lidah kita, amiiin.


Kisah ini dikongsikan dan diceritakan bersama oleh sahabat saya sendiri yang berasal di Malaysia dan kini berada di perantauan sana.


Jangan ingat sekiranya kita melakukan maksiat, kita seperti merasakan seolah-olah tiada apa yang berlaku. Allah SWT sentiasa menerima taubat bagi sesiapa yang mahu bertaubat denganNya. Namun, jika engkar, Allah SWT sudah menyediakan neraka bagi hambaNya yang kufur.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...